Wednesday, 3 November 2010

Pengerusi MAYC Ipoh Barat Terpilih Sebagai Peserta Lelaki Terbaik

Kuala Lumpur ; Program Sergah Minda 2010 Anjuran MAYC Kebangsaan dengan kerjasama MAYC Wilayah Persekutuan telah berlangsung dengan jayanya pada 29-31 Oktober yang lalu bertempat di Hotel Midah.

Program yang banyak mendedahkan ilmu tentang pengurusan organisasi dan kaedah- kaedah terbaik bagaimana caranya umtuk berurusan dengan jabatan kerajaan yang berkaitan. Dalam program ini juga para peserta yang merupakan pemimpin-pemimpin muda MAYC yang datang dari seluruh pelusuk tanahair didedahkan dengan ilmu sains metafizik yang merupakan ilmu pengetahuan yang amat menarik sekali untuk dipelajari. Program ini telah dirasmikan oleh Presiden MAYC Kebangsaan Saudara Akhramsyah Sanusi dan upacara penutup pula oleh Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Pengerusi MAYC Ipoh Barat saudara Noor Kamila a.k.a Kedoc

Kamil telah terpilih sebagai Peserta Lelaki Terbaik Program. Ini tidak langsung telah menaikkan imej MAYC Ipoh Barat khususnya dan MAYC Perak amnya. Kesimpulannya Program Sergah Minda 2010 ini telah berlangsung dengan jayanya dan diharapkan pihak penganjur akan dapat menganjurkan lagi program yang seumpama ini di masa hadapan kerana selain ia dapat memberikan ilmu yang manfaat kepada peserta ia juga dapat memupuk dan mengeratkan lagi tali silaturahim pihak-pihak yang terlibat. ( keterangan gambar : Kedoc Kamil sedang menerima hadiah Peserta Lelaki Terbaik dari Presiden Saudara Akhramsyah)

Sunday, 31 October 2010

Ipoh MotorSports Carnival Disember ini menemui anda!

KENYATAAN AKHBAR

KENYATAAN AKHBAR: Kedudukan Terkini MAYC Kebangsaan Pada Akhir Oktober 2010

Pada 12 Oktober 2010, akhbar Utusan Malaysia telah mewartakan tuduhan Tan Sri Syed Hamid Albar bahawa saudara Akhramsyah Sanusi, selaku Presiden MAYC yang terpilih pada Mesyuarat Agung 31 Julai 2010, bukan sekadar tidak sah perjawatannya malah berbohong tentang rancangan AJK Tan Sri untuk mengalihkan semua harta MAYC ke Yayasan MAYC.

Pada laporan yang sama, Tan Sri Syed Hamid telah menyatakan laporan polis akan dibuat terhadap tindakan-tanduk saudara Akhramsyah Sanusi. Susulan dari itu, MAYC Kebangsaan ingin memberi maklum-balas berikut:

1. Ketetapan tentang sah atau tidaknya saudara Akhramsyah Sanusi sebagai Presiden MAYC tidak berada di bawah bidang kuasa Tan Sri Syed Hamid Albar. Walaupun menghormati kedudukan beliau sebagai bekas Presiden MAYC Kebangsaan, Jawatankuasa MAYC Kebangsaan yang dipilih Mesyuarat Agung pada 31 Julai 2010 ingin menyarankan beliau menjauhkan diri dari anasir-anasir yang ingin mempergunakan beliau untuk merebut hak ahli-ahli kelab-kelab belia gabungan MAYC.

MAYC menyarankan demikian demi menjamin integriti Tan Sri Syed Hamid sendiri selaku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kami tidak mahu kedudukan dan nama baik Tan Sri bertambah terjejas hasil penglibatan berterusan beliau dalam usaha anasir-anasir tertentu memorak-perandakan MAYC demi kepentingan peribadi.

2. Saudara Akhramsyah Sanusi masih menerima sokongan majoriti kelab-kelab gabungan MAYC. Jawatankuasa pimpinan beliau juga terus aktif menjalankan program dengan gandingan MAYC-MAYC Negeri. Contohnya, sepanjang Oktober, pelbagai program dilaksanakan untuk membangun kepimpinan dan keupayaan mentadbir pemimpinan belia MAYC pada peringkat Kelab dan Kawasan, dianjurkan di Negeri Sembilan, Terengganu dan Wilayah Persekutuan dengan penyertaan belia dari seluruh negara.

Oleh itu, tuduhan Tan Sri Syed Hamid Albar tentang pembohongan saudara Akhramsyah Sanusi tempohari ternampak ditolak sama-sekali oleh golongan belia MAYC. Malah, saudara Akhramsyah kelihatan semakin popular kerana tuduhan Tan Sri menjadi seolah-olah bukti keberanian beliau. Lebih buruk untuk Tan Sri Syed Hamid, beliau tidak menjawab secara terperinci persoalan pokok tentang rencana mengalihkan harta MAYC, maka kecurigaan tentang rencana tersebut semakin menular.

3. Lebih buruk untuk MAYC, hasil kenyataan Tan Sri Syed Hamid Albar tentang rencana melaporkan saudara Akhramsyah kepada polis, begitu banyak agensi kerajaan dan pihak swasta kini sangsi untuk meneruskan kerjasama dengan MAYC. Ini amat merugikan kelab-kelab belia MAYC. Padahal, sejak terbitnya laporan akhbar tersebut, pihak polis tidak pun mengambil apa-apa tindakan terhadap saudara Akhramsyah, mahupun AJK MAYC pimpinannya, menyebabkan kami tertanya-tanya sama ada betulkah laporan polis dibuat?

4. MAYC kini menggesa pihak berkuasa, terutama sekali Kementerian Belia dan Sukan, baik Pendaftar Belia mahupun pejabat Menteri sekalipun untuk menyegerakan keputusan berkenaan kesahihan Mesyuarat Agung MAYC. Setakat ini pihak ROY sepatutnya sudah menerima bantahan yang di buat lebih daripada 55 Kelab, Kawasan atau Negeri gabungan MAYC bersabit Mesyuarat Agung 26 September 2010 yang tidak menepati kehendak perlembagaan dan menidakkan hak begitu ramai ahli kelab gabungan MAYC.

Sebagai perbandingan, Mesyuarat Agung MAYC pada 31 Julai yang memilih jawatankuasa pimpinan saudara Akhramsyah hanya dibantah oleh 2 pihak, yakni bekas Timbalan Presiden MAYC dan Pengerusi Negeri Melaka. Kami yakin bantahan dari kedua-dua pihak ini pun adalah hasil dari hasutan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ternyata MAYC masih bergerak maju demi belia 1Malaysia, cuma masalah timbul hasil dari usaha peribadi beberapa individu yang malangnya berjaya mempengaruhi Tan Sri Syed Hamid Albar.

Yang benar,

AZMI BIN ISMAIL (31 Oktober 2010)

Naib Presiden MAYC Kebangsaan, 019-4216119

Sila rujuk juga,

AHMAD ANSOR RIVAI BATUBARA

Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan, 017-5972478


MAYC IPOH BARAT DIAKTIFKAN!!!

Program Sergah Minda yang dilangsungkan pada 30 dan 31 Oktober telah menyergah minda Pengerusi MAYC Ipoh Barat. Saudara Kamil dalam program tersebut telah dipilih sebagai peserta lelaki terbaik. Sekalung tahniah diucapkan.

Thursday, 14 October 2010

Presiden MAYC di Astro Awani Malam ini

Ikutilah pandangan Presiden Mayc Kebangsaan Sdr Akhramsyah Sanusi diAstro Awani pada malam ni jam 8.15 malam dalam eksklusif bicara yang bertajuk "BAJET MARHAEN". Ikutilah pandangan Belia Marhaen tentang bajet diluahkan dari lidah harimau Mayc Kebangsaan yang sah.

Monday, 9 August 2010

Anak Sanusi Junid terajui MAYC

Anak Sanusi Junid terajui MAYC Oleh Hazirah Che Sab zeehan@bharian.com.my 2010/08/01

Akhramsyah Sanusi
Akhramsyah Sanusi
PETALING JAYA: Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) mulai semalam diterajui muka baru, Akhramsyah Sanusi selepas 11 tahun dipimpin Tan Sri Syed Hamid Albar, sekali gus menyegarkan kembali pertubuhan berusia 54 tahun itu yang selama ini bergolak. Akhramsyah, 36, anak pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid, dipilih sebulat suara pada mesyuarat agung tahunan (AGM) MAYC bagi tempoh 2010/2012.


Pertubuhan itu dianggotai 311 kelab gabungan dipimpin Syed Hamid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, sejak 1999 selepas mengambil alih daripada Sanusi yang menerajuinya selama 28 tahun.
AGM yang diadakan di sini semalam adalah yang pertama dalam tempoh lima tahun. AGM itu sepatutnya diadakan pada 2006 tetapi ditangguhkan sehingga 2007 tetapi masih gagal diadakan berikutan masalah dalaman. Kepemimpinan MAYC yang dipilih adalah muka baru termasuk timbalan presiden, Abdul Karim Mohamad manakala Setiausaha Agung, Ahmad Ansor Mohd Rivai Batubara. Ketika ditemui selepas AGM itu, Akhramsyah yang juga pengurus operasi peruncitan sebuah syarikat minyak antarabangsa, berkata matlamat utama kepemimpinannya ialah menyelamatkan MAYC daripada dibubarkan berikutan krisis kepemimpinan pertubuhan itu. “MAYC sudah menerima beberapa surat amaran meminta AGM diadakan tetapi terus ditangguhkan tanpa diberi sebarang tarikh. Pejabat Pendaftar Belia (ROY) tidak mengambil kira itu semua kerana mengikut perlembagaan, AGM mesti diadakan. “Ahli juga mahukan kepemimpinan muda menerajui kelab ini tetapi kami tidak sekali-kali mengenepikan pandangan orang veteran,” katanya. Beliau berkata, pihaknya turut menjemput Syed Hamid selaku pemimpin MAYC sebelum ini, untuk menghadiri AGM itu. Syed Hamid tidak hadir pada majlis itu. “Kami menjemput semua pihak tetapi perwakilan dari Kelantan, Pahang dan Melaka tidak hadir. Perwakilan Kelantan memberi alasan salah seorang wakil rakyat mereka sedang nazak tetapi agak terkilan ketidakhadiran perwakilan Pahang dan Melaka. Namun kita masih bersangka baik, mungkin mereka ada hal yang tidak dapat dielakkan. “Mungkin mereka mengambil nasihat pihak lain supaya tidak menghadiri AGM kali ini. Saya bersyukur kerana pemilihan perwakilan kali ini berjalan lancar. Kepemimpinan lama juga perlu terbuka untuk menerima orang muda. Mereka boleh mempengaruhi tetapi jangan menghalang,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan menghantar laporan kepada ROY mengenai situasi terkini selepas AGM dan pemilihan diadakan dan menunggu tindakan ROY selanjutnya.